Saturday 16 April 2011

perlancongan sekitar kelantan

Pantai Sri Tujuh

Pantai Sri Tujuh terletak di Tumpat Kelantan. Ia dinamakan Pantai Sri Tujuh kerana terdapat 7 buah teluk atau lebih di sini. Ia merupakan kawasan rekreasi yang menarik kepada pengunjung terutama dari Kelantan. Pantai Sri Tujuh berhampiran dengan Pengkalan Kubur dan Stesen Keretapi Tumpat. Pengunjung dari Kuala Lumpur boleh ke sini dengan menaiki kereta api dengan bayaran RM32 seorang. Banyak teksi dan kereta sewa di stesen kereta api untuk pergi ke pantai.
Sebuah resort terapung telah dibina di Pantai Sri Tujuh. Ia dikenali sebagai Resort Sri Tujuh, lengkap dengan kolam mandi , gelanggang futsal dan padang latihan bermain golf . Pengunjung akan makan di gerai-gerai yang disediakan sambil menikmati panorama laut dan mereka yang menunggang bot ski. Bot nelayan kelihatan pulang ke pangkalan pada waktu-waktu tertentu.
Selain itu terdapat surau dua tingkat yang agak besar di sini. Pada hujung minggu, ada di antara pengunjung mendirikan khemah sambil memancing ikan.


Pantai Cahaya Bulan

Pantai Cahaya Bulan merupakan salah satu pantai yang terkenal di negeri Kelantan Malaysia. Ia terletak kira-kira 10 km dari Kota Bharu dan merupakan kawasan pendaratan tentera Jepun untuk menyerang British pada 8 Disember 1941. Pada suatu ketika, pantai ini dinamakan Pantai Cinta Berahi, suatu nama yang dikatakan diberi oleh seorang askar British ketika dia di pantai ini pada masa Perang Dunia II. Pada masa itu, askar tersebut sedang menderita kerana cintanya tidak berbalas. Sesetengah orang tempatan masih menggunakan nama lama ini pada hari ini, walaupun mereka lebih suka merujuk kepada pantai ini sebagai PCB.

Persisiran pantai ini adalah sejauh 1.2 km. Pantai ini terkenal kerana kawasannya panjang dan lebar, dengan pasir yang cantik dan air yang jernih. Deretan pokok ru dan pokok kelapa pula menambahkan lagi kecantikan pantai ini. Oleh itu Pantai Cahaya Bulan telah menjadi tempat perkelahan yang popular di kalangan keluarga-keluarga tempatan, khususnya pada hujung minggu. Pantai ini lengkap dengan kemudahan untuk para pengunjung, terdapat pilihan hotel, chalet, kawasan perkhemahan, kedai makan dan gerai, dan tandas awam.

Perjalanan ke pantai ini dari Kota Bharu akan membawa pengunjung melalui satu pekan Melayu tradisional . Ini adalah kawasan kraftangan yang penting di negeri untuk pencetakan batik, penenunan songket, dan pembuatan layang-layang serta loyang.

Masjid Beijing Rantau Panjang

Masjid Keputeraan Sultan Ismail Petra di Rantau Panjang bercirikan seni bina masjid Cina di Beijing. Seni bina masjid ini amat unik kerana menggabungkan seni bina Cina dan Islam dan menyerupai Masjid Niujie yang berusia lebih 1,000 tahun di Beijing,China.Lokasi masjid ini terletak di tepi lebuh raya Pasir Mas-Rantau Panjangsekitar 2 Km dari Pekan R.Panjang dengan keluasan 3.7 ekar. Mula dibina pada 12 September, 2005 dan dirasmikan bulan Ogos 2009. Kos keseluruhan pembinaan masjid ini dianggarkan sejumlah RM8.8 juta. Masjid ini mampu memuatkan seramai 1,000 orang jemaah pada satu-satu masa
Jeram Linang Machang

Jeram Linang (kadang-kadang ditulis Jeram Lenang) merupakan salah satu kawasan rekreasi hutan lipur dan air terjun yang terkenal di Kelantann. Jeram Linang terletak di Hutan Simpan Ulu Sat, dalam Jajahan Machang, Kelantan dan dihubungi dengan jalan raya bertar. Pengunjung boleh ke sana dengan menaiki kereta persendirian dan teksi.

Mengikut sejarah, Jeram Linang merupakan antara kawasan air terjun yang terawal dibangunkan sebagai kawasan rekreasi orang ramai di Kelantan. Air terjun Jeram Linang adalah dari jenis air terjun bertingkat setinggi 12 meter dan menjadi tumpuan orang ramai dari kawasan Pasir Puteh, Machang, Kota Bharu dan Jerteh Terengganu.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Daerah Machang telah membina banyak kemudahan seperti tempat letak kereta, surau, wakaf rehat, tandas awam, restoran dan gerai, chalet dan tapak perkhemahan.
Jaringan jalan raya yang baik telah dibina oleh pihak kerajaan bagi memudahkan para pegunjung melawat Jeram Linang. Jeram Linang terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandar Pasir Puteh (melalui jalan Pasir Puteh - Machang) dan 15 kilometer dari Bandar Machang (melalui jalan Machang - Wakaf Linchong).
Pasar Siti Khadijah

Nama asal Pasar Besar Siti Khadijah ialah Pasar Besar Buluh Kubu. Walaubagaimanapun ia telah ditukar namanya kepada nama ini oleh Menteri Besar Kelantan iaitu Y.A.B Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat sebagai tanda penghormatan kepada kaum Hawa, memandangkan majoriti peniaganya terdiri daripada golongan wanita. Satu pemandangan yang unik di pasar-pasar di Kelantan ialah peniaganya yang rata-rata terdiri daripada kaum wanita yang terkenal dengan minat berniaga .

Pasar ini mempunyai 4 tingkat dan berbentuk segi lapan. Tingkat bawah dikhususkan untuk barangan basah seperti ikan, sayur-sayuran, ayam dan sebagainya. Tingkat 1 pula diperuntukkan kepada barangan makanan kering seperti serunding, iaitu sejenis makanan Kelantan yang sangat terkenal. Juga terdapat Ayam percik, ikan percik, nasi kerabu, nasi berlauk, nasi dagang, laksam dan somtam merupakan antara makanan yang paling "tersohor" bagi rakyat negeri Kelantan. Kuih tradisional Kelantan seperti kuih "tahi itik, akak, jala mas, buah tanjung, serabe, tepung pelita, dan pelbagai lagi kuih lain yang juga dijual di sini. Manakala tingkat 2 dan 3, untuk barangan bukan makanan.


No comments:

Post a Comment